COVID-19: Kuarantin Diri Bermaksud Mengasingkan Diri Bagi Memutuskan Jangkitan Kepada Orang Lain.
Tindakan Yang Perlu Dilakukan Semasa Dalam Tempoh Pemerhatian Dan Pengawasan
- Tinggal Di Rumah Kediaman
- Hendaklah tinggal di rumah kediaman sepanjang masa (EMPAT BELAS (14) hari)
- Anda dikehendaki mengasingkan diri daripada ahli keluarga yang lain, umpamanya berada di bilik yang berasingan. Sekiranya perlu berinteraksi dengan ahli keluarga, anda dikehendaki untuk memakai penutup mulut dan hidung (mask).
- Aturkan dengan waris / saudara mara / rakan untuk membeli keperluan harian.
- Jika anda terpaksa pergi ke suatu tempat kerana tidak dapat ditangguhkan, sila hubungi dan dapatkan nasihat daripada Pegawai Kesihatan Daerah
- Jika anda memerlukan bantuan mengenai keperluan harian, sila hubungi orang yang terdekat
- Elakkan daripada berhubung secara dekat dengan ahli-ahli keluarga / rakan-rakan. Sekiranya saudara mara, shabat handai menziarahi anda – adalah menjadi tanggungjawab anda untuk mencatatkan nama, nombor telefon dan tarikh kunjungan mereka.
- Pasangan, anak-anak, adik beradik atau mana-mana individu lain yang tinggal serumah tetapi TIDAK dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah adalah BEBAS untuk melakukan aktiviti seharian mereka.
- Periksa Gejala Jangkitan
- Periksa suhu badan setiap hari dan keadaan ini perlu dipantau selama EMPAT BELAS (14) hari
- Penutup mulut dan hidung (mask) hendaklah dipakai sepanjang masa jika anda demam atau batuk sebelum bantuan perubatan tiba.
- Jika anda mengalami mana-mana gejala dan tanda seperti berikut, SEGERA hubungi Pegawai Kesihatan Daerah untuk tindakan selanjutnya:
- Kesukaran bernafas –tercungap-cungap, pernafasan menjadi laju atau warna bibir bertukar menjadi kebiruan
- Batuk berdarah
- Sakit dada yang berterusan
- Demam yang berpanjangan sehingga melebihi 3 hari atau demam yang berulang semula selepas 3 hari
- Amalkan Kebersihan Diri
- Sentiasa amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas batuk atau bersin.
- Amalkan adab batuk yang baik. Tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila anda batuk dan bersin. Sejurus selepas itu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah bertutup.
- Dapatkan pengudaraan yang baik di dalam rumah.
- Bersihkan permukaan dan objek yang mungkin dicemari dengan kahak, cecair batuk/bersin atau bendalir serupa yang keluar dari hidung atau mulut dengan menggunakan bahan cucian seperti chlorox. Bancuhan yang disyorkan ialah 1 bahagian chlorox kepada 50 bahagian air.
- Perkara-Perkara Yang Dilarang
- Menanggalkan penutup mulut dan hidung (mask) apabila dikunjungi oleh waris atau tetamu.
- Meninggalkan rumah kediaman bagi tujuan membeli belah, bersiar-siar ke padang permainan atau ke tempat awam.